Friday, November 26, 2010

The 19th International Marketing Award, L’ORÉAL BRANDSTORM 2011

L'Oreal kini melancarkan  19th International Marketing Award, L’ORÉAL BRANDSTORM 2011, http://brandstorm.loreal.com.

L’ORÉAL BRANDSTORM 2011  adalah pertandingan di antara pelajar yang dianjurkan oleh L'Oreal International. Tujuan pertandingan adalah untuk membolehkan para pelajar mempertandingkan strategi pemasaran terhebat Dan juga kempen komunikasi bagi barangan L'Oreal.

Bagi maklumat lanjut, sila rujuk lampiran. Tarikh tutup pendaftaran di atas talian ialah 15 Disember 2010.

Bagi yang berminat, sila daftarkan Nama, Fakulti, Tahun Pengajian Dan Nombor Telefon di rawlins@ukm.my atau wahidah@ukm.my

Tuesday, November 23, 2010

PENANGGUHAN PROGRAM U-SET OLEH PIHAK KHAZANAH NASIONAL BERHAD 

Dengan hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

Pejabat TNC HEJIM telah menerima makluman penangguhan Program U-SET (Undergraduate Self Empowerment Transformation)  atau sebelum ini dikenali sebagai GEMS-UNI (Graduate Employability Management Scheme) daripada pihak Khazanah Nasional Berhad. (sila rujuk email daripada pihak Khazanah Nasional seperti di bawah)

Penangguhan ini adalah susulan daripada perbincangan Khazanah Nasional Berhad dengan Jabatan Perdana Menteri, yang mana pihak Khazanah telah diminta untuk membentangkan kajian keberkesanan dan impak program GEMS yang telah dijalankan sepanjang 2009/2010 ke kabinet pada suku pertama 2011. Daripada kajian keberkesanan tersebut, pihak Khazanah juga perlu melakukan semakan dan penambahan kepada modul-modul program sebelum sesi seterusnya dimulakan.

Sehubungan itu mohon agar Y. Bhg. Dato'/Datin/Prof./Tuan/Puan mengambil perhatian akan perkara ini dan diharap agar Ketua-Ketua HEJIM dapat memaklumkan pelajar masing-masing. Maklumat lanjut mengenai perkara ini juga boleh diakses di laman web e-pelajar.

Walaubagaimanapun, dalam tempoh penyemakan semula modul tersebut, pihak Khazanah akan terus bekerjasama dengan UKM dalam  merancang dan mengadakan Career Roadshows di UKM.  Diharapkan agar Career Roadshows ini akan memberi manfaat dalam meningkatkan kebolehpasaran pelajar  UKM sebelum mereka menamatkan pengajian.

Pihak kami juga akan berhubung terus dengan pihak Y. Bhg Dato’/Datin/Prof./tuan/puan jika terdapat sebarang maklumat lanjut mengenai perkara ini.

Sekian, terima kasih.


Yang benar,



PROF. DR. SARAN KAUR GILL
Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat)
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 Bangi
Selangor, MALAYSIA
T: +603 8921 5106 / 3032
F: +603 8921 4606
www.ukm.my/hejim

Monday, November 15, 2010

Berita Takziah: Pelajar FSSK Meninggal Dunia





Dukacita dimaklumkan bahawa seorang pelajar FSSK dari Program Kerja Sosial, Tahun 2, Norhidayu binti Yaakob (A128628) telah meninggal dunia pada 12 November 2010 akibat kemalangan jalan raya di Tanjung Karang, Selangor Kemalangan berlaku dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Parit 12 Sg. Nibong, Sekinchan, Selangor. Jenazah telahpun selamat dikebumikan pada malam itu juga. 












Sama-samalah kita menghadiahkan Al-Fatihah kepada Rohnya, mudah-mudahan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan bertaqwa kepadaNya.

















SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA KEPADA SELURUH WARGA UKM YANG BERAGAMA ISLAM.

SELAMAT BERCUTI KEPADA SEMUA PELAJAR, MANFAATKAN CUTI SEMESTER ANDA DENGAN HAL-HAL YANG BERFAEDAH.

Thursday, November 11, 2010

BERITA BAIK UNTUK PESERTA PROGRAM GEM-UNI ANJURAN KHAZANAH NASIONAL BERHAD DAN UKM

Dengan amat sukacitanya dimaklumkan bahawa kesemua pelajar yang telah mendaftarkan diri bagi Program GEM-UNI atau sekarang ini telah ditukar nama kepada U-SET (Undergraduate Self Empowerment Transformation Programme) telah berjaya diterima oleh Pejabat Hubungan Industri UKM.  

Pendaftaran bagi program ini akan dilakukan pada 2hb. Disember 2010, dan program akan berjalan dari 3hb. hingga 17hb. Disember 2010. Maklumat lanjut berhubung dengan pendaftaran dan aturcara lengkap akan diemelkan kepada semua pelajar terlibat.

Lebih menarik lagi bagi peserta-peserta program ini, beberapa insentif lain yang tidak mampu anda tolak untuk ikut serta dalam program ini telah dipersetujui oleh pihak penganjur dan Pejabat TNC HEJIM UKM. Antaranya:

1.  Bengkel selama 2 minggu di UKM dari 2hb. - 17hb. Dismeber 2010 akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur. Dalam nmasa yang sama, pihak penganjur akan membuat 'profiling' peserta untuk mengetahui latar belakang personaliti dan akademik serta profesionalism peserta bagi tujuan penempatan di industri.

2.    Para peserta diperlukan melakukan satu projek selepas tamat bengkel tersebut, yang akan dilakukan dalam Semester 2 Sesi 2010/2011, dan pihak penganjur bersedia memberikan pelbagai bantuan untuk menjayakan projek ini.

3.   Berdasarkan 'profiling' yang telah dibuat semasa bengkel 2 minggu tersebut, para peserta akan ditempatkan di pelbagai organisasi GLC di bawah Khazanah Nasional Berhad, untuk menjalani Program Internship selama 3 bulan, bermula dari awal Mei  hingga akhir Julai. Selama menjalani program internship, para peserta akan diberikan elaun sebanyak RM1000.00 sebulan. 

4.   Yang lebih menarik, Pihak Khazanah Nasional Berhad akan sedaya upaya membantu para peserta untuk mendapatkan pekerjaan di pelbagai organisasi GLC, sesuai dengan kelayakan dan minat para peserta.

5.  Dan terakhirnya, pihak TNC HEJIM UKM akan  membentangkan ke pihak atasan pengurusan universiti untuk menganugerahkan kepada semua peserta Program U-SET yang berjaya sebanyak 6 kredit. Ini bermakna, secara langsung semua peserta U-SET telah memenuhi tuntutan Latihan Industri program pengajian masing-masing. 

Syabas kepada semua pelajar yang telah mendaftar bagi program ini. Tidak ada sebab untuk anda semua menarik diri daripada program ini. Sekiranya ini berlaku, ianya merupakan kerugian besar kepada diri anda semua. Peluang ini hanya datang sekali sahaja kepada diri anda, dan jangan biarkan ianya terlepas begitu sahaja. Peserta-peserta program ini umpama anak emas Khazanah Nasional Berhad dan UKM. Anda tidak akan menyesal menyertai program ini!!

Tempat dan peluang amat terhad dan menjadi rebutan hangat. Untuk menjamin tempat anda, sila  buat pengesahan semula  penyertaan anda di Pejabat HEJIM FSSK selewat-lewatnya pada 15hb. Disember 2010, sama ada datang sendiri ke Pejabat HEJIM FSSK atau melalui emel, iaitu hejimfssk@ukm.my. 

Sekiranya tiada pengesahan semula dibuat pada tarikh tersebut, secara otomatik penyertaan anda terbatal, dan diberikan kepada pelajar lain yang amat memerlukan tempat dan peluang tersebut.

Brosur Program U-SET akan diemelkan kepada semua peserta yang berdaftar dalam masa terdekat. TTUUNGGGUU.............

Saturday, October 30, 2010

PROGRAM GEMS-UNI UNTUK PENINGKATAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN UKM ANJURAN KHAZANAH NASIONAL BERHAD: 1 - 14 DISEMBER 2010
Program GEMS-UNI (Graduate Employability Management Scheme ) merupakan sebuah program bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan yang dijalankan oleh pihak Khazanah Nasional Berhad. UKM telah dipilih sebagai universiti pertama untuk pelaksanaan program tersebut.
Objektif program ini ialah untuk menyediakan platform bagi bakal-bakal graduan untuk memahami keperluan industri dan memberi pendedahan serta pengalaman melalui projek yang dijalankan bagi membina kompetensi di alam pekerjaan, seterusnya meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Program ini akan dijalankan melalui 2 fasa seperti berikut:
Fasa I
Fasa I dibuka kepada 500 pelajar tahun akhir dan akan bermula dengan Bengkel Pembangunan Graduan selama 14 hari semasa cuti semester pada 1 Disember 2010.
Bengkel tersebut akan merangkumi Business English, Pengurusan Projek, Penilaian Perniagaan, Kecemerlangan Kendiri, Pemikiran Kritis dan Kreatif serta Persediaan Ke Alam Pekerjaan.
Bengkel ini bakal menyediakan pelajar dengan kemahiran kompetensi yang diperlukan dalam pekerjaan, yang mana akan diaplikasikan di bahagian kedua fasa ini apabila semester dibuka pada Januari – Mac 2011. Setiap pelajar akan menjalankan projek-projek yang berkaitan dengan bidang masing-masing merangkumi tema-tema Pembangunan Insan, Khidmat Masyarakat, Tenaga, Alam Sekitar, Komunikasi, Rekreasi dan sebagainya.
Fasa II
Bagi fasa II ia akan dibuka kepada 500 pelajar tahun 2 dan 3 dan pelaksanaan dibahagi kepada 2 semester iaitu pada Januari – Mac 2011 dan Julai – September 2011.
Untuk Fasa I, pihak Khazanah Nasional telah bersetuju untuk membiayai kos program manakala UKM hanya perlu menyediakan tempat tinggal, bilik kelas dan dewan serta makan dan minum peserta sepanjang bengkel diadakan. Tiada sebarang bayaran dikenakan kepada pelajar. 
Seramai 100 orang pelajar tahun akhir FSSK akan dipilih  untuk menyertai bengkel ini. Oleh kerana  tempat adalah terhad, para pelajar FSSK diminta untuk SEGERA mendaftarkan diri di Pejabat HEJIM FSSK sebelum 2hb. November 2010. Pelbagai insentif akan diperolehi oleh pelajar yang berjaya mengikuti Bengkel ini. Elaun akan diberikan kepada para peserta yang cemerlang dalam bengkel ini. 

SILA DAFTAR DENGAN SEGERA DI PEJABAT HEJIM FSSK. SENARAI PELAJAR YANG BERJAYA AKAN DIUMUMKAN PADA 4 NOVEMBER 2010.

Friday, September 3, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

HEJIM FSSK ingin mengucapkan Selamat Hari Raya AidilFitri kepada seluruh warga pelajar, kakitangan akademik, kakitangan pentadbiran FSSK dan seluruh warga UKM. Maaf Zahir dan Batin.

Sila klik link di bawah untuk melihat e-kad Hari Raya: 

http://www.ptm.ukm.my/v6/ekad/SelectCard.php?EcardText=1283520749&ENum=24

Saturday, August 28, 2010

SIME DARBY CAMPUS ENGAGEMENT PROGRAMME



Adalah dimaklumkan Sime Darby Berhad akan mengadakan Sime Darby Campus Engagement Programme untuk membantu meluaskan lagi kebolehpasaran pelajar UKM dan menerangkan peluang kerjaya yang ditawarkan.

Program tersebut akan dijalankan pada:


Tarikh :      25 September 2010 (Sabtu)
Masa :       8.30 pagi – 5.00 petang
Tempat :    Auditorium Siswa, Pusanika, UKM
 
Bagi pelajar tahun akhir yang berminat dan memenuhi kriteria yang diberi, sila daftar segera dengan memberi maklumat seperti yang diperlukan ke wahidah@ukm.my sebelum 13 September 2010.

Untuk maklumat lanjut, sila lihat poster dan jadual yang diberikan atau hubungi Pejabat Hubungan Industri ( Pn. Wahidah ext : 4604)

Monday, August 23, 2010

CHALLENGE FOR CHANGE




The Deep Green Challenge for Change is to showcase the best Cleantech and Social Venture Ideas, to instill values of sustainability and to encourage entrepreneurship in creating eco-friendly and viable business ideas.

More than RM80,000.00 to be won, and will represent Malaysia at the Global Cleantech Open Final Gala in San Fransisco, USA

For more information, please go to:
http://www.digi.com.my/deepgreen/html/c4c.html

Sunday, August 22, 2010

CARTA ALIR & PROSEDUR LATIHAN INDUSTRI FSSK

PERLAKSANAAN PROGRAM LATIHAN INDUSTRI DAN KOMUNITI FSSK

Prakata

Buku panduan latihan industri ini disediakan bertujuan untuk menjelaskan tentang Latihan Industri dan Komuniti (LIK) yang diwajibkan ke atas semua pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Hanya pelajar yang memenuhi syarat-syarat akademik yang ditetapkan sahaja layak menjalani LIK ini. Buku ini juga disusun bertujuan untuk memudahkan para pelajar, penyelia universiti dan organisasi memahami peranan masing-masing dalam melaksanakan LIK ini. Diharap, buku ini dapat membantu pihak organisasi / industri memahami matlamat LIK yang dijalankan oleh pihak Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian.

Organisasi Pelaksanaan LIK

Satu Jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat FSSK ditubuhkan sebagai badan pelaksana latihan industri dan komuniti di fakulti ini. Jawatankuasa ini diketuai oleh Ketua Jaringan Industri dan Masyarakat FSSK, dan keahliannya terdiri daripada semua ketua program. Jawatankuasa ini berfungsi untuk:

a. Merancang, melaksana dan menyelaras program Latihan Industri dan Komuniti di FSSK.

b. Menyediakan skop latihan atau bidang tugas Latihan Industri dan Komuniti untuk panduan pelajar dan makluman penyelia oraganisasi dan penyelia universiti.

c. Menyelaraskan program Latihan Industri dan Komuniti di Fakulti dengan Pejabat Hubungan Industri UKM.

d. Mempastikan pelajar yang memenuhi syarat-syarat LIK mendaftar untuk menjalani program latihan industri dan komuniti pada awal semester kedua (bagi PPMK) atau semester ketiga Tahun Ketiga pengajian.

e. Mengenalpasti, mengemaskini dan memperakukan organisasi yang sesuai dan berpotensi untuk penempatan LIK.

f. Memastikan syarat dan prosedur pelaksanaan Latihan Industri dan Komuniti yang ditetapkan dalam kurikulum dipatuhi oleh pelajar.

h. Menghebah, mempromosi dan mempastikan pelajar menghadiri program dan bengkel persediaan yang dikendalikan oleh Jawatankuasa HEJIM.

i. Memastikan semua pelajar yang mendaftar untuk menjalani LIK membuat pengesahan tempat selewat-lewatnya pada minggu ke-14 semester pertama (bagi PPMK) atau kedua tahun tiga pengajian.

j. Mempastikan pelajar menghadiri semua bengkel dan taklimat yang dianjurkan oleh Jawatankuasa HEJIM sebelum pelajar dibenarkan menjalani Latihan Industri dan Komuniti.

k. Melantik pensyarah dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan sebagai Penyelia Universiti untuk menyelia setiap pelajar yang menjalani Latihan Industri dan Komuniti.

l. Melantik pegawai dari organisasi luar yang menempatkan pelajar FSSK bagi tujuan latihan industri dan komuniti sebagai Penyelia Organisasi.

m. Memantau hal ehwal perjalanan dan kebajikan pelajar semasa mereka menjalani latihan industri dan komuniti.

n. Memastikan sistem penilaian latihan industri dan komuniti dilaksanakan oleh penyelia organisasi dan penyelia universiti.

o. Memastikan markah akhir pelajar yang menjalani latihan industri dan komuniti diserahkan oleh para penyelia kepada pihak fakulti, dan

p) Menyediakan laporan maklumbalas pihak industri/organisasi dan pelajar di akhir program ini.

Syarat Keperluan dan Jangkamasa Latihan Industri dan Komuniti

Para pelajar diwajibkan menjalani Latihan Industri dan Komuniti sebagai satu keperluan pengijazahan di peringkat sarjanamuda. Tempoh LIK adalah selama 12 minggu (bagi PPMK) atau  4 minggu secara dalaman, dan 8 minggu di industri/organisasi luar fakulti. Penempatan pelajar di organisasi luar dilakukan pada Semester 3, Tahun Ketiga pengajian. Hanya pelajar yang telah memenuhi keperluan LIK di peringkat dalam fakulti sahaja yang dibenarkan menjalani LIK di organisasi luar.

Pendaftaran Kursus Latihan Industri dan Komuniti

Para pelajar yang telah memenuhi syarat LIK dikehendaki membuat pendaftaran kursus Latihan Industri dan Komuniti pada awal semester kedua tahun ketiga pengajian. Semasa menjalani program ini, para pelajar tidak dibenarkan mendaftar mana-mana kursus yang lain.

Urusan Penempatan Latihan Industri dan Komuniti

a. Penempatan pelajar LIK di organisasi luar diurustadbirkan oleh Jawatankuasa Jaringan Industri dan Masyarakat melalui Ketua Program atau Penyelaras Program.

b. Walau bagaimanapun, pelajar bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan mereka memperolehi tempat untuk tujuan LIK, sesuai dengan keperluan program pengajian.

c. Pejabat Jaringan Industri dan Masyarakat FSSK berperanan menyediakan senarai organisasi yang berpotensi menawarkan tempat kepada pelajar-pelajar bagi tujuan LIK. Pelajar amat digalakkan memilih organisasi yang bersesuaian dengan keperluan program pengajian.

d. Dari masa ke semasa, para pelajar perlu membuat penyemakan tentang status permohonan tempat LIK, dan seterusnya membuat pengesahan penerimaan penempatan di organisasi.

e. Pelajar tidak dibenarkan berpindah tempat latihan melainkan mendapatkan kelulusan bertulis dari Ketua HEJIM Fakulti setelah mendapat sokongan daripada Ketua atau Penyelaras Program.

Prosedur Pelaksanaan Latihan Industri dan Komuniti Program

a. Sebelum Penempatan Latihan Industri dan Komuniti

Sebelum menjalani LIK, pelajar dikehendaki terlebih dahulu :

i. Mendaftar, mengikuti dan lulus Kursus Teras Program.

ii. Menhadiri Taklimat LIK yang diberikan oleh setiap Program pengajian berhubung dengan prosedur dan keperluan LIK

ii. Menyediakan resume dan maklumat-maklumat berkaitan kelayakan akademik bagi tujuan permohonan tempat LIK.

iii. Terlibat dalam penganjuran atau menyertai beberapa siri Bengkel LIK yang dianjurkan oleh setiap program sebelum latihan dimulakan.

iv. Mendaftar untuk menjalankan LIK semasa pra-pendaftaran sebelum semester bermula dengan mengisi borang yang disediakan.

v. Mengisi dan mengembalikan Borang Pendaftaran LIK (HI1) dan Borang Pemilihan Organisasi (HI2) yang lengkap ke pejabat HEJIM.

b. Semasa Program Latihan Industri dan Komuniti

Semasa menjalani LIK, pelajar adalah diwajibkan bagi:

i. Mengisi dan mengembalikan Borang Lapor Diri (HI3) yang telah dilengkapkan ke Pejabat HEJIM dalam masa seminggu selepas LIK bermula.

ii. Mengisi dan melengkapkan Buku Log serta diserahkan kepada Penyelia Organisasi setiap minggu untuk tujuan pengesahan. Buku log ini perlu diserahkan bersama-sama Laporan Akhir Latihan Industri dan Komuniti.

c. Selepas Menjalani Program Latihan Industri dan Komuniti

Selepas 12 minggu (bagi PPMK) atau 8 minggu LIK, pelajar hendaklah:
i. Menyiapkan dan menyerahkan Laporan Akhir Latihan Industri dan Komuniti dan Buku Log dalam masa seminggu selepas tamat LIK ke Pejabat Ketua Program atau HEJIM FSSK.

ii. Laporan Penilaian Penyelia Organisasi (Borang HI4) hendaklah diisi dan dikirimkan terus oleh Penyelia Organisasi setelah tamat tempoh 12 minggu (bagi PPMK) atau 8 minggu pelajar menjalani LIK. Pastikan Nama Pelajar, No. Matrik dan Program ditulis di bahagian luar sampul surat bagi memudahkan pengesanan.

Nota: Setiap pelajar adalah bertanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan Laporan Akhir Latihan Industri dan Laporan Penilaian Penyelia Organissi (Borang HI4) mereka sampai ke Pejabat HEJIM FSSK dalam masa yang ditetapkan. Pihak HEJIM fssk tidak akan memberikan sebarang gred sekiranya laporan dan borang ini tidak diterima.

Perlantikan Penyelia Latihan Industri dan Komuniti

Jawatankuasa Jaringan Industri dan Masyarakat dengan persetujuan Ketua/Penyelaras Program akan melantik dua orang penyelia LIK bagi setiap orang pelajar, terdiri daripada Penyelia Universiti dan Penyelia Organisasi.

a. Tugas dan Tanggungjawab Penyelia Universiti

Penyelia Universiti adalah seorang pensyarah FSSK yang dilantik oleh Jawatankuasa Jaringan Industri dan Masyarakat, FSSK. Penyelia Universiti akan bertanggungjawab dalam hal-hal seperti berikut :

i. Memastikan pelajar menjalani Latihan Industri dan Komuniti selaras dengan objektif dan prosedur yang ditetapkan.

ii. Menetapkan jadual lawatan berpandukan kepada kalendar Latihan Industri dan Komuniti bagi semester berkenaan.

iii. Melakukan lawatan ke organisasi/industri untuk membuat penyelarasan bidang tugas, memberi bimbingan, penyeliaan dan membuat penilaian dengan menggunakan Borang Penilaian Penyelia Universiti (HI4) ke atas pelajar serta berbincang dan menjalin hubungan dengan penyelia organisasi.

iv. Membantu menyelesaikan masalah pelajar yang berkaitan dengan bidang tugas.

v. Meneliti buku log pelajar semasa lawatan.

vi. Menyemak serta menilai laporan pelajar.

vii. Menyelaraskan pemarkahan serta menyerahkan Borang Pemarkahan kepada Jawatankuasa Jaringan Industri dan Masyarakat.

viii. Menyediakan laporan penyeliaan dan penilaian serta memberi saranan untuk memperbaiki program Latihan Industri akan datang.

b. Tugas dan Tanggungjawab Penyelia Organisasi

Penyelia Organisasi adalah terdiri pegawai dari organisasi dimana pelajar ditempatkan untuk latihan dan ianya dilantik atas persetujuan pihak universiti dan pihak organisasi. Pelantikan Penyelia Organisasi haruslah berdasarkan kepada pengalaman atau kelayakan akademiknya. Penyelia Organisasi ini bertanggungjawab:

i. Menyelia pelajar sepanjang tempoh Latihan Industri dan Komuniti.

ii. Menentukan kerja pelajar mengikut skop latihan yang dicadangkan oleh Universiti

iii. Memberi pendedahan dan kemudahan yang bersesuaian bagi memastikan pelajar mendapat pengalaman yang optimum di organisasi/industri

iv. Mempertimbangkan pemberian elaun yang berpatutan kepada pelajar yang menjalani Latihan Industri dan Komuniti.

v. Meneliti serta menandatangani Buku Log pelajar setiap hujung minggu

vi. Memberi maklumbalas dan berbincang dengan Penyelia Universiti mengenai latihan yang diberikan, serta membuat laporan penilaian pelajar dengan menggunakan Borang Penilaian Penyelia Organisasi (HI4) pada akhir tempoh Latihan Industri yang merangkumi:

- Prestasi menjalankan tugas (Contohnya; ketepatan dan pengurusan masa, mutu kerja, langkah-langkah keselamatan yang perlu dipatuhi dankesediaan menerima tugas)

- Keterampilan (contohnya pakaian, peraturan, kesopanan tingkah laku)

- Pengurusan (contohnya hubungan di antara pelajar dan majikan, kemampuan menyelesaikan masalah)

vii. Menyemak laporan pelajar sebelum ianya diserahkan kepada pihak Fakulti.

Tanggungjawab dan Peranan Pelajar

i. Mengenalpasti dan memohon terus kepada organisasi/syarikat yang bersesuaian bagi mendapatkan tempat latihan dan memaklumkan kepada Jawatankuasa Jaringan Industri dan Masyarakat untuk diperakukan.

ii. Memaklumkan kepada Jawatankuasa Jaringan Industri dan Masyarakat jika gagal mendapat tempat latihan dan bersedia menerima tempat latihan industri yang ditentukan oleh Jawatankuasa ini.

iii. Menghadiri taklimat dan bengkel mengenai Latihan Industri dan komuniti yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Jaringan Industri dan Masyarakat fakulti.

iv. Menyerahkan Borang HI1 bagi tujuan pendaftaran latihan industri dan komuniti dan Borang HI2 bagi pemilihan organisasi. Pelajar hanya dibenarkan memohon satu organisasi sahaja dalam satu- satu masa.

v. Mendapatkan insurans, Surat Pengesahan Tempat Latihan Industri dan Komuniti, Borang HI4(Penilaian Penyelia Organisasi), Buku Log, dan Borang Penilaian Kendiri (HI6).

vi. Mengemaskini dan memulangkan Borang HI3 (Borang Pengesahan Pendaftaran di Organisasi) kepada pejabat HEJIM FSSK dalam tempoh satu minggu setelah berada di organisasi.

vii. Menyerahkan Borang Penilaian Kendiri ke pejabat HEJIM selepas tamat Latihan Industri dan Komuniti

viii. Mematuhi skop latihan yang telah ditetapkan.

ix. Melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang ditentukan oleh organisasi/industri di bawah penyeliaan seorang Penyelia Organisasi.

x. Mematuhi segala peraturan di organisasi/industri selagi tidak bercanggah dengan peraturan Universiti.

xi. Sentiasa bersikap positif seta memberi sumbangan yang terbaik bagi membuktikan yang mereka adalah aset kepada organisasi/industri.

xii. Menjaga nama baik Universiti Kebangsaan Malaysia. Bersopan dan menjaga tatasusila dengan semua orang di tempat LIK tanpa mengiranpangkat atau kedudukan.

xiii. Menghubungi Penyelia Organisasi atau Pejabat HEJIM dengan segera sekiranya menghadapi sebarang masalah.

xiv. Membuat catatan aktiviti yang dilaksanakan di dalam buku log, menulis laporan Latihan Industri dan melaksanakan tugas lain sebagaimana yang diarahkan oleh Penyelia Organisasi.

xv. Berada di tempat latihan dan membuat pembentangan tidak formal semasa lawatan Penyelia Universiti.

xvi. Menunjukkan buku log untuk disemak oleh Penyelia Fakulti semasa lawatan.

Organisasi dan Industri Bagi Penempatan Latihan Industri dan Komuniti

Sebagai langkah untuk memastikan organisasi/industri yang menawarkan Latihan Industri dan Komuniti berupaya memberi latihan yang bersesuaian dengan bidang dan program pengajian pelajar, Fakulti telah menetapkan beberapa kriteria dalam pemilihan organisasi/industri (maklumat lanjut, sila berhubung dengan program pengajian masing-masing).

Skop Latihan Industri dan Komuniti

Organisasi/industri yang menawarkan Latihan Industri dan Komuniti kepada pelajar mestilah berupaya untuk melatih mereka dalam aspek-aspek yang bersesuaian dengan keperluan program pengajian. Sila berhubung dengan program pengajian masing-masing untuk mendapatkan keterangan terperinci tentang skop dan bidang tugas yang disyorkan.  

Di samping itu juga, organisasi/syarikat mempunyai tanggungjawab untuk memberi peluang bagi pelajar mendapatkan pengalaman menjadi kakitangan cemerlang serta berupaya untuk:

a. Berkomunikasi dengan baik serta berhemah,

b. Berdikari, dan

c. Berinovasi

d. Berdaya saing dan keusahawanan

Penilaian dan Kaedah

Penilaian LIK adalah berdasarkan kepada pencapaian dan kebolehan pelajar berdasarkan penganjuran dan penyertaan dalam bengkel dalaman, penyediaan laporan akhir LIK, pengendalian buku log, laporan penilaian daripada penyelia universiti dan penyelia organisasi.

i.  Penganjuran & Penyertaan dalam Bengkel Dalaman - 2 kredit (kecuali Pelajar PPMK)

ii. Laporan LIK perlu disediakan menggunakan format tesis UKM tidak melebihi 50 muka surat (tidak termasuk rujukan dan lampiran) atau mengikut format yang ditetapkan oleh fakulti/program pengajian. Laporan boleh ditulis samada dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris dan mesti dihantar selewat-lewatnya satu minggu setelah tamat tempoh menjalani LIK.

iii. Laporan Penilaian Penyelia Organisasi

Penyelia organisasi dikehendaki memberi penilaian terhadap prestasi pelajar yang membuat latihan dalam dua skop di bawah:

a. Prestasi kerja yang merangkumi perkara berikut:

- pengetahuan kerja

- kebolehpercayaan untuk menyiapkan kerja dalam masa yang ditetapkan

- masa diambil untuk mendapatkan kemahiran kerja

- keperluan untuk penyeliaan

- kualiti kerja

b. Sahsiah meliputi perkara berikut:

- kebolehan berkomunikasi

- inisiatif dan motivasi

- sikap terhadap kerja

- disiplin

iv. Laporan Penyelia Universiti

Penentuan Keputusan Pelajar

a. Diberikan Gred A hingga E (GAGAL) dan diambilkira dalam PNGK.

b. Pelajar akan dikira GAGAL jika:

i. Bertukar-tukar tempat Latihan Industri tanpa mendapat kelulusan Ketua/Penyelaras Program atau Jawatankuasa Jaringan Industri dan Masyarakat.

ii. Tidak menjalani Latihan Industri dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

iii. Tidak berada di organisasi/industri ketika lawatan Penyelia Universiti tanpa sebab yang munasabah setelah temujanji dibuat dan dimaklumkan kepada pelajar

iv. Tidak menghantar laporan pada tarikh yang telah ditetapkan

v. Laporan Penyelia Organisasi memperlihatkan pelajar mempunyai masalah disiplin di organisasi/industri seperti kedatangan yang kurang memuaskan, bersikap sambil-lewa, tidak melapor diri dan sebagainya. Perkara ini akan disiasat dan sekiranya benar, pelajar diberikan gred E.
DASAR LATIHAN INDUSTRI DAN KOMUNITI
Universiti Kebangsaan Malaysia


1.0 Pengenalan

1.1 Latihan Industri dan Komuniti (LIK) merupakan komponen program pengajian yang memberi pelajar peluang pembelajaran di dunia pekerjaan agar lebih bersedia dengan suasana kerja yang bakal mereka ceburi. Selain daripada itu, program LIK adalah untuk memperkasakan kompetensi dan kemahiran pekerjaan pelajar dan seterusnya dapat mempertingkatkan kebolehan pasaran pelajar.

2.0 Penyata Dasar

2.1 Semua pelajar peringkat Sarjana Muda termasuk pelajar antarabangsa di UKM diwajibkan menjalankan LIK bagi satu tempoh yang ditetapkan. Pelajar pascasiswazah pula digalakkan mengikuti latihan industri.

3.0 Definisi Latihan Industri dan Komuniti

3.1 Latihan Industri dan Komuniti merupakan satu program yang menempatkan pelajar untuk menjalankan latihan praktikal, amali, klinikal atau kerja komuniti dalam satu-satu organisasi luar UKM yang dipilih dan diselia dalam jangka masa yang ditetapkan sebelum pelajar dianugerahkan ijazah.

3.2 Organisasi luar yang dimaksudkan boleh terdiri daripada syarikat-syarikat swasta, badan- badan kerajaan, badan-badan bukan kerajaan (NGO), sekolah-sekolah, hospital termasuk HUKM, komuniti dan lain-lain tempat yang diadili kewajarannya.

3.3 Penempatan LIK boleh dilaksanakan dalam agensi-agensi UKM yang bersesuaian dengan matlamat LIK sekiranya usaha mencari penempatan LIK di organisasi luar tidak berjaya.

4.0 Matlamat Latihan Industri dan Komuniti

4.1 Matlamat LIK adalah untuk mendedahkan pelajar kepada alam pekerjaan yang sebenar sambil mempraktikkan pengetahuan secara teori kepada amalan serta mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang profesion masing-masing. Latihan Industri dan Komuniti juga bertujuan melahirkan pelajar yang mempunyai kompetensi dan kemahiran generik yang diperlukan oleh majikan di samping mendedahkan kepada pelajar pengalaman keusahawanan.

5.0 Objektif Latihan Industri dan Komuniti

5.1 Objektif utama program LIK adalah untuk:

a) memberikan peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran akademik dalam alam pekerjaan sebenar;

b) memberi peluang kepada pelajar belajar dari pengamal dalam bidang masing- masing;

c) mempertingkatkan kemahiran generik dan profesional seperti kemahiran interpersonal, bekerja secara berkumpulan, kemahiran menyelesaikan masalah dan kemahiran keusahawanan;

d) menghayati nilai etika profesyen masing-masing,

e) mempertingkatkan peluang pekerjaan;

f) memberikan pengalaman pembelajaran dalam dunia industri; dan

g) merapatkan jalinan hubungan universiti dengan industri.

6.0 Hasil Pembelajaran Latihan Industri dan Komuniti

6.1 Setelah menyelesaikan LIK, pelajar berupaya:

a) mempraktiskan teori dan pengetahuan akademik yang dipelajari di tempat kerja di bawah penyeliaan;

b) mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran, sikap dan pengalaman praktikal yang berkaitan dengan bidang pengajian;

c) berinteraksi, berkomunikasi dan bekerja secara berkumpulan secara berkesan dengan pelbagai pihak;

d) memberi pandangan secara kritis, berkeyakinan, inovatif dan mampu menyelesaikan masalah secara profesional;

e) mempamerkan etika dan integriti yang tinggi dalam menjalankan tanggungjawab yang diberikan; dan

f) menghayati pengurusan organisasi.

7.0 Skop Latihan Industri dan Komuniti

7.1 Setiap fakulti perlu merangka skop latihan berpandukan kepada kurikulum program akademik. Skop tugas hendaklah memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari serta mendapat pendedahan amalan kerja dalam bidang masing-masing.

7.2 Sehubungan dengan ini, pelajar atau beberapa orang pelajar boleh menjadi pelatih kepada organisasi yang dipilih atau bertindak sebagai perunding kepada syarikat-syarikat kecil dan sederhana.

7.3 Latihan Industri dan Komuniti boleh diberikan jam kredit dengan latihan selama DUA minggu bersamaan dengan satu kredit. Jumlah jam kredit yang boleh diberikan tidak melebihi 12 kredit.

8.0 Tempoh Latihan Industri dan Komuniti

8.1 Tempoh minimum latihan industri dan komuniti adalah 10 minggu secara berterusan atau kumulatif. Pihak fakulti boleh menetapkan tempoh yang lebih panjang bergantung kepada keperluan pihak-pihak berkepentingan tertakluk kepada tempoh maksimum 24 minggu (bersamaan 12 kredit).

9.0 Syarat Mendaftar Latihan Industri dan Komuniti

9.1 Pelajar boleh menjalankan Latihan Industri dan Komuniti seawal-awalnya pada tahun kedua pengajiannya dan tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh fakulti masing-masing.

10.0 Insurans

10.1 Semua pelajar yang mengikuti LIK perlu mendapat perlindungan insurans termasuk aspek keselamatan lain seperti mendapat vaksin untuk perlindungan semasa menjalankan latihan industri. Kos insurans dan vaksin hendaklah dimasukkan dalam yuran pengajian.

11.0 Imbuhan

11.1 Pihak industri/majikan digalakkan memberi elaun kepada pelajar yang menjalankan program latihan industri dengan organisasi mereka. Selain itu, UKM juga perlu berperanan untuk membantu pembiayaan program LIK.

12.0 Pengecualian Latihan Industri dan Komuniti

12.1 Pelajar-pelajar yang pernah bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan program yang diikuti boleh memohon pengecualian LIK. Kelulusan permohonan tertakluk kepada kriteria fakulti masing-masing.

13.0 Penyelarasan Latihan Industri dan Komuniti

13.1 Semua aktiviti yang berkaitan dengan LIK hendaklah dikelolakan oleh Jawatankuasa Penyelarasan LIK Fakulti yang diketuai oleh Ketua Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat. Aktiviti penyelarasan termasuklah mempelawa organisasi untuk menawarkan tempat Latihan Industri kepada pelajar dan menyediakan jadual kerja pelaksanaan LIK di fakulti. Pejabat Hubungan Industri (PHI) merupakan pusat tanggungjawab (PTJ) di peringkat universiti yang berperanan dalam pemantauan dan penyelarasan latihan industri.

14.0 Penempatan Latihan Industri dan Komuniti

14.1 Pelajar boleh menjalani latihan industri dalam organisasi yang sesuai dengan program pengajian masing-masing dan yang telah disahkan dan mendapat kelulusan daripada fakulti. Sehubungan dengan ini, pelajar-pelajar sangat digalakkan untuk memilih penempatan yang memberikan pengalaman keusahawanan dan inovasi.

14.2 Pelajar yang ingin menjalankan LIK di luar negara boleh memohon untuk mendapatkan bantuan dari pihak universiti dalam Program Mobiliti Pelajar (Outbound).

15.0 Penyeliaan

15.1 Pelajar akan diselia dan dinilai oleh penyelia organisasi dan juga oleh penyelia universiti. Kedua-dua penyelia akan bertanggungjawab menyelaras, membimbing dan memberi panduan kepada pelajar yang sedang menjalani LIK. Pemberian saguhati kepada penyelia organisasi adalah digalakkan bagi melicinkan lagi penempatan serta pelaksanaan program LIK. Kos penyeliaan sama ada penyeliaan pihak organisasi dan penyeliaan universiti perlu diperuntukkan.

16.0 Tugas dan Tanggungjawab

16.1 Tugas dan Tanggungjawab Pelajar:

a). Mengesah penerimaan tawaran LIK dengan sesebuah organisasi dalam tempoh yang dipersetujui dan tidak menukar tawaran tersebut dengan organisasi lain.

b). Melapor diri di organisasi berkenaan dalam minggu pertama LIK.

c). Memastikan nama baik UKM terpelihara dengan menunjukkan sikap dan tingkahlaku yang baik.

d) Melaporkan aktiviti harian dalam buku log dan mendapat pengesahan penyelia di industri

e) Menghantar laporan dan melakukan pembentangan yang diminta dalam tempoh yang dipersetujui

16.2 Tugas dan tanggungjawab Penyelia di Fakulti:

a). Memastikan pelajar menjalani LIK dalam tempoh yang dipersetujui

b). Melawat pelajar di industri bagi tujuan pemantauan sekiranya sumber kewangan mengizinkan

c). Memantau dan menilai prestasi pelajar secara keseluruhan

d). Menilai kesesuaian tempat latihan di peringkat awal latihan dijalankan

e). Mendapatkan maklumbalas dari penyelia pelajar di tempat LIK

f). Melapor kepada fakulti sekiranya timbul sebarang masalah dengan pelajar

g). Menilai laporan dan pembentangan pelajar untuk tujuan pemarkahan

16.3 Tugas dan tanggungjawab Penyelia di Industri dan Komuniti:

a). Memberi panduan dan merangka pelan latihan kepada pelajar yang menjalani LIK

b). Memberi peluang kepada pelajar untuk menghargai persekitaran tempat kerja yang sebenar

c). Memantau dan menilai kemajuan LIK pelajar

d). Melapor kepada fakulti sekiranya timbul sebarang masalah dengan pelajar

17.0 Penilaian

17.1 Penilaian Latihan Industri dan Komuniti bertujuan mengukur prestasi kerja pelajar dan perkembangan kemahiran generik mereka. Fakulti boleh memilih kaedah penilaian bersesuaian dengan bidang pengajian dan objektif yang hendak dicapai. Antara kaedah penilaian yang digunakan adalah:

• Laporan penilaian penyelia organisasi

• Laporan penilaian penyelia universiti

• Laporan Latihan Industri oleh pelajar

• Buku log/kehadiran

• Pemerhatian di tempat kerja

• Pembentangan pelajar

17.2 Pelajar perlu menyempurnakan semua aspek penilaian yang ditetapkan oleh Fakulti. Syarat utama untuk lulus Latihan Industri adalah pelajar mesti menyempurnakan tempoh Latihan Industri dan Komuniti yang ditetapkan oleh Fakulti berkenaan dan menyiapkan laporan dan lain-lain keperluan yang ditetapkan oleh pihak Fakulti sebagai syarat lulus Latihan Industri dan Komuniti.

17.3 Pelajar akan diberikan gred A hingga E untuk LIK. Fakulti boleh mengambil kira gred ini dalam Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) atau tidak mengambil kira bergantung kepada keperluan pihak-pihak berkepentingan.

18.0 Penutup

18.1 UKM berhak mengubah dasar ini dari semasa ke semasa. Dasar ini juga perlu disemak dalam tempoh 5 tahun sekali bagi mengambil kira keperluan semasa dan kehendak pihak-pihak berkepentingan.